MEMASUKI hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri bagi membendung penularan Covid-19, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menitipkan pesanan kepada rakyat Malaysia.
Ketua Pengarah Kesihatan itu merayu rakyat untuk duduk di rumah dan menahan diri dengan tidak mengadakan atau menghadiri sebarang perjumpaan sosial.
Begitu juga, katanya, jangan hadir aktiviti luar yang tidak penting ketika kita melawan gelombang ketiga wabak ini, dengan trend jangkitan Covid-19 yang meningkat.
“Saya menyeru kepada anda semua supaya terus duduk di rumah. Tempoh dua minggu ini sangat penting kepada kita dan negara,” katanya menerusi hantaran bergambar di Facebooknya.
Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP di enam negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor, Pulau Pinang dan Sabah bermula hari ini sehingga 26 Januari.
Semalam, sebanyak 3,309 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan di Malaysia, iaitu tertinggi sejak wabak itu melanda negara. – Malaysiapost

