Muhammad Mustakim Ramli
JANGAN komplen ikut sahaja SOP (prosedur operasi standard), kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas dakwaan seorang lelaki yang dikompaun RM1,000 selepas tidak memakai pelitup muka di taman awam yang tidak mempunyai ramai orang, Ayob Khan berkata dalam kes yang tular itu terdapat lebih dua individu di lokasi kejadian.
“Isunya bukan ramai tak ramai tetapi kita sudah keluarkan SOP memang boleh rekreasi dan bersukan tetapi tidak lebih dua orang.
“Kalau lebih kita akan ambil tindakan. Saya difahamkan dalam kes itu ada dua orang tak pakai pelitup muka. Jadi kita terpaksa bawa balik mereka ke balai,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook.
Katanya pihaknya tidak akan bertolak ansur dalam isu membabitkan pelanggaran SOP seperti kes berkenaan.
Malaysiapost hari ini melaporkan seorang lelaki yang dikenali Wafi Shaik mendakwa dikompaun RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka kerana berada di taman awam yang kurang dari 10 orang.
Katanya tindakan yang diambil terhadapnya adalah tidak adil dan bertentangan dengan apa yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakoob iaitu tidak perlu memakai pelitup muka jika bilangan individu di taman awam adalah sedikit.-Malaysiapost

