Darurat tak libat rampasan kuasa tentera, perintah berkurung

0
1
PUTRAJAYA, 6 April -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) di Bangunan Perdana Putra hari ini. -- fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata pengisytiharan darurat tidak akan membabitkan sebarang bentuk rampasan kuasa tentera atau pelaksanaan perintah berkurung.

Perdana Menteri sebaliknya berkata urusan pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus berfungsi seperti biasa.

“Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, majlis kerajaan negeri akan terus berfungsi mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Malah saya beri jaminan jentera perkhidmatan serta pentadbiran awam, kerajaan negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan darurat ini,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata beberapa ordinan boleh dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh darurat bagi memudahkan urusan dan mengatasi peraturan menyukarkan termasuk mengukuhkan aspek penguatkuasaan dalam mengawal penularan pandemik.

Ini katanya, termasuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi membolehkan denda dan penalti lebih berat dikenakan.

“Bagi menghalang sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang yang keterlaluan, boleh dimasyhurkan oleh baginda, dengan hukuman lebih berat boleh dibuat.

Semua ordinan yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong ini akan diwartakan dan diketahui oleh rakyat,” katanya.

Muhyiddin menambah, ordinan itu juga boleh dimasyhurkan baginda bagi tujuan membendung wabak merangkumi tindakan berkaitan hal penggunaan aset hospital swasta serta pengambilalihan semula tanah dan harta alih hospital swasta.

“Ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memberi kuasa kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk kuasa sedia ada di bawah polis menerusi tatacara kanun jenayah, dengan ATM juga boleh diperuntuk kuasa membantu melaksana kawalan berhubung kesihatan awam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here