AKAUN Twitter rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diceroboh pihak tidak bertanggungjawab dan ia kini digantung untuk sementara waktu.
Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu dan meminta orang ramai tidak mempercayai atau terpengaruh jika terdapat hantaran mesej mencurigakan melalui akaun Twitter berkenaan buat masa ini.
“SKMM ingin memaklumkan bahawa akaun Twitter rasmi Suruhanjaya@SKMM_MCMC telah diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Susulan itu, akaun Twitter berkenaan telah digantung buat sementara waktu,” menurut kenyataan itu, hari ini.
SKMM turut menasihatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan hantaran mesej mencurigakan, jelik dan bersifat fitnah yang dimuat naik melalui akaun berkenaan, yang bukan dikeluarkan oleh pihaknya.- MalaysiaPost

