KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 telah dikesan di Malaysia hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu telah dilaporkan dari seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada Disember lalu.
“Pengembara itu didapati positif pada 28 Disember 2020 dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut.
“Sejak Oktober 2020, KKM telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.
“Sebanyak 968 sampel telah diuji sejak Oktober 2020 dan telah melakukan genome sequencing bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, setakat hari ini tiada penularan dalam negara dikesan berkaitan virus mutasi itu.
Menurutnya, KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.
“Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak didapati menyebabkan simptom yang teruk, namun, ia boleh menular dengan mudah dan cepat.
“Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa,” katanya. – Malaysiapost

