KERAJAAN digesa mengumumkan segera peruntukan sebanyak RM500 juta sepanjang dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, termasuk bantuan lain seperti subsidi upah dan bantuan untuk perniagaan atau perusahaan yang terjejas.
Gesaan itu dibuat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam reaksinya terhadap pengumuman pelaksanaan PKP oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Anwar turut menggesa kerajaan mengarahkan semua bank untuk segera melaksanakan kembali moratorium pinjaman sehingga diberitahu kelak dan pengumuman mengenai langkah itu mesti dibuat segera.
“Pengumuman (PKP) terbaru ini akan terus mengesankan sektor perniagaan dan aktiviti ekonomi yang masih belum kebah dari dampak beberapa PKP sebelum ini sejak Mac tahun lalu.
“Saya mendesak kerajaan untuk lebih telus terkait realiti kewangan dan ekonomi negara dan bagaimana dana dapat disalur kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
“Banyak perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih belum menerima subsidi upah dan mungkin tidak lagi tertampung dengan kesan pandemik dan langkah terkini hanya menjadi titik kritikal pada perniagaan yang di ambang penutupan,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, ramai yang akan kehilangan kerja dan ramai yang akan dihempap kemiskinan.
“Selain kesan pandemik, beberapa negeri kini dibebani masalah banjir dan perlukan bantuan segera. Pusat-pusat pemindahan sementara mesti dipantau rapi bagi memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan mencegah kewujudan kluster-kluster baru.
“Inilah masanya untuk menonjolkan kepimpinan bertanggungjawab, dan kerajaan harus sedar dari berkhayal supaya keadaan tidak semakin memburuk dan rakyat berhak serta memerlukan kepimpinan yang lebih baik dan tegas saat ini,” katanya. – Malaysiapost

