SERAMAI 26,516 mangsa banjir daripada 7,168 keluarga masih berada di 279 pusat penempatan sementara (PPS) di sembilan daerah setakat jam 9 pagi ini.
Temerloh mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 12,045 orang daripada 3,297 keluarga, diikuti Maran 3,728 mangsa (1,003 keluarga), Lipis 2,330 orang (613 keluarga).
Pekan pula merekodkan 2,406 orang daripada 691 keluarga; Raub (1,788 mangsa daripada 466 keluarga); Jerantut dengan 1,476 orang (389 keluarga); 1,558 orang (431 keluarga) di Bera; Kuantan dengan 229 mangsa (985 keluarga) dan Rompin 200 orang (49 keluarga).
Laporan infobanjir.water.gov.my turut memaklumkan lima sungai di negeri tersebut masih melepasi paras bahaya iaitu Sungai Jelai, Jeram Bungor, Lipis; Sungai Pahang (Lubuk Pasu), Temerloh dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran.
Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini dan Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan turut melepasi paras bahaya manakala Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Triang, Bera pula melepasi paras amaran.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan notis cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berterusan di Pahang sehingga Selasa ini.
Di Terengganu, seramai 10,086 mangsa daripada 2,534 keluarga masih berada di 43 PPS setakat jam 8 pagi tadi berbanding 10,124 mangsa daripada 2,566 keluarga di 50 PPS petang semalam.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata jumlah mangsa di Kemaman adalah 8,626 orang daripada 2,125 keluarga di 19 PPS.
“Ia menunjukkan penambahan berbanding petang semalam yang merekodkan seramai 7,897 mangsa daripada 1,930 keluarga ditempatkan di 25 PPS.
“Di Dungun, jumlah mangsa banjir adalah seramai seramai 1,460 orang daripada 409 keluarga ditempatkan di 24 PPS,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Che Adam berkata, hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman melepasi paras bahaya dengan bacaan 5.18 meter.
Katanya, Sungai Dungun di Jambatan Jerangau pula berada pada paras amaran dengan bacaan 12.48 meter.
“Manakala, lima lagi sungai direkodkan berada pada paras waspada,” katanya. – Malaysiapost

