SATU mesyuarat kepimpinan tertinggi PAS diadakan hari ini.
Difahamkan, mesyuarat itu akan membincangkan situasi politik semasa negara terutamanya krisis antara Umno dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Seawal jam 10 pagi, kelihatan para pemimpin utama PAS tiba di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun, Ahli Jawatankuasa PAS pusat Nik Muhammad Abduh dilihat meninggalkan ibu pejabat parti itu jam 10.30 pagi.
Kelmarin, Bendahari PAS Pusat Iskandar Abd Samad berkata, parti itu akan membincangkan ketetapan yang diambil Umno berkenaan usul memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU15 dalam mesyuarat hari ini.
Semalam pemimpin veteran PAS, Dr Mahfodz Mohammed, berkata parti itu akan terus berusaha agar sekutunya, Umno dapat menerima hakikat betapa perlunya mereka terus kekal dalam satu gabungan.
Mahfodz berkata,suka atau tidak, ketiga-tiga parti Melayu-Islam di negara ini perlu kekal bersama bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
PAS secara rasmi telah menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Bersatu dan masih menjalinkan hubungan dengan Umno menerusi gagasan yang diberi nama Muafakat Nasional (MN)
Bagaimanapun Umno tidak menyertai PN tetapi membenarkan para ahlinya menyokong gabungan itu. -Malaysiapost

