Zahid khianat Umno

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengkhianati parti, kata Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau berkata situasi itu berlaku apabila Zahid membuat akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggerakkan jajaran politik baharu melibatkan kerjasama Umno, PKR dan DAP.

Tun Faisal yang juga merupakan Setiausaha Akhbar kepada Annuar Musa berkata, beliau tidak ada masalah untuk mempertahankan institusi Presiden, tetapi perkara itu agak sukar dilakukan kerana Presiden sendiri mengkhianati parti.

“Saya akan pertahankan institusi selagi tidak khianati parti. Masalahnya presiden sendiri khianati parti.

“Pendedahan (Tan Sri) Annuar (Musa) seperti mendedahkan salah laku seorang Presiden tentang wujudnya sokongan kepada Anwar secara sembunyi tanpa pengetahuan pemimpin Umno/BN lain apatah lagi akar umbi,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Tun Faisal berkata, dalam menyelesaikan kemelut politik ketika ini, Ahmad Zahid perlu membuat akuan bersumpah tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Ini termasuk, katanya, menghentikan jajaran politik baharu sebagai istilah menyembunyikan sokongan secara rahsia beliau itu.

“Jika Presiden buat (akuan bersumpah) ini maka kita boleh sokong semula beliau.

“Selagi Presiden tak berani buat dan tak mahu arahkan untuk hentikan jajaran politik baharu ini, selagi itu takkan selesai,” katanya. 

Sebelum ini, Annuar menerusi sidang media mendedahkan antara punca dirinya digugurkan sebagai Setiausaha Agung BN disebabkan isu akuan bersumpah itu.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here