Permohonan Najib singkir Sri Ram diketahui 27 Januari

0
1
Pix via Malaysiapost

PERMOHONAN Datuk Seri Najib Razak untuk menyingkirkan bekas hakim mahkamah persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada menjadi pendakwa utama dalam kes dakwaan meminda laporan akhir audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan didengar pada 27 Januari.

Peguam bela tertuduh, Nur Syahirah Hanapiah berkata, tarikh perbicaraan baru itu ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, perbicaraan yang dijadualkan pagi ini di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan terpaksa dibatalkan susulan cuti sakit oleh peguam bela utama Tan Sri, Muhammad Shafee Abdullah.

“Shafee MC (cuti sakit) hari ini kerana keadaan tangannya. Oleh itu, perbicaraan hari ini dikosongkan dan ditukar menjadi pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Catherine Nicholas.

“Mahkamah kemudian menetapkan 27 Januari jam 9.30 pagi untuk perbicaraan permohonan untuk membatalkan kelayakan Sri Ram daripada menjadi DPP kanan dalam perbicaraan pinda laporan audit 1MDB (Najib),” kata Nur Syahirah seperti dilapor Malaysiakini.

Dia bercakap kepada media setelah menghadiri pengurusan kes di hadapan Catherine pagi ini.

Ketika ditemui setelah menghadiri prosiding yang sama, DPP Mohamad Mustaffa P Kunyalam mengesahkan bahawa tarikh pendengaran permohonan Najib telah ditangguhkan hari ini kepada 27 Januari.

Najib 66, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya sebagai perdana menteri ketika itu dengan mengarahkan supaya laporan akhir audit 1MDB dipinda, sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here