‘Muhyiddin perlu letak jawatan, elak PRU-15 dalam tempoh terdekat’ – Mahfuz

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin perlu melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri secara sukarela bagi mengelakkan daripada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata,
sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya ketika jumlah kes Covid-19 kian meningkat.

“Umno menuntut supaya pilihan raya umum diadakan sebelum suku pertama 2021, sedangkan ini bukanlah masa yang sesuai ketika pandemik Covid-19 mencanak naik.

“Namun dalam masa sama, parti yang mendukung kerajaan itu sendiri tampak tiada keyakinan terhadap Perdana Menteri dalam menerajui pentadbiran negara kerana mahu pilihan raya diadakan segera.

“Jadi untuk mengelakkan daripada berlakunya pilihan raya, Perdana Menteri perlu meletak jawatan. Dengan cara itu, kita serahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menentukan siapa sebenarnya individu yang mendapat sokongan terbanyak dalam kalangan Ahli Parlimen bagi menerajui kerajaan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Kelmarin, Umno dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi mendesak supaya PRU-15 diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021 bagi membolehkan mandat baharu diserahkan kepada rakyat.

Selain itu, terdapat usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa menghadapi PRU-15.

Mahfuz berkata, pertembungan antara dua parti itu membawa keresahan dalam kalangan rakyat selain mendatangkan keraguan terhadap pelabur di negara ini.

“Untuk itu, Muhyiddin perlu berkorban dan kalau beliau benar-benar meletakkan kepentingan negara di depan, maka beliau perlu berundur.

“Keadaannya sekarang beliau bukan hanya tidak disokong pembangkang sebaliknya ditolak oleh juga oleh parti yang sama-sama membentuk kerajaan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here