AHLI Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub mempersoalkan hala tuju Umno yang terikat dengan permainan pihak tertentu.
Pengerusi Umno Kelantan itu, berkata tindakan Umno yang terus mengikat diri itu akan menyebabkan parti itu seperti membunuh diri sendiri atau akan dibunuh.
“Mengapa Umno perlu terlalu terikat? PRU (Pilihan Raya Umun) lepas Umno di tolak oleh gabungan mana?
“Bukankah oleh gabungan Bersatu yang bersama dengan DAP dan PKR? Kita telah terjebak dengan mainan kononnya rakyat akan tolak kita kalau bersama org itu dan ini,” katanya, hari ini.
Ahmad Jazlan mengakui parti itu tidak mampu bersendirian, namun beliau membangkitkan sekiranya terus bersama Bersatu adakah ia jaminan rakyat menyukai kerajaan yang dipimpin Bersatu.
“Rakyat dah tertekan dan bosan dengan kerajaan hari ini dan kita akan terperangkap sama.
“Sewaktu kita buat keputusan untuk jadi kerajaan pelbagai alasan yang kita berikan kononnya kita tiada sumber kewangan untuk bergerak.
“Sekarang kita ada duit kah untuk bergerak? Duit Umno pun masih tak dilepaskan semuanya, sedangkan dah jelas duit tu adalah duit parti yang tiada kaitan dengan 1MDB,” katanya.
Beliau berkata, Umno perlu membuat keputusan bagi memastikan parti itu kembali bangkit.
“Jawabnya kita mesti buat pilihan jalan mana mesti di lalui demi melerakkan Umno kembali di atas walaupun terpaksa mengambil sedikit masa kerana jalan yang kita lalui sekarang adalah jalan mati,” katanya.
Malam tadi, Umno memutuskan untuk membawa usul majoriti perwakilan bahagian yang menolak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Bersatu bagi menghadapi PRU-15 ke Perhimpunan Agung Umno pada 31 Januari ini.
Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno malam tadi juga sebulat suara memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 bahagian Umno yang telah bersidang selama tiga hari baru-baru ini di seluruh negara.
Antaranya termasuk mempertahankan hubungan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN). -Malaysiapost

