‘Jangan layani kemahuan mengadakan PRU-15 segera’ – Rais Yatim

0
1

KERAJAAN diminta agar tidak melayani kemahuan parti politik tertentu yang mahukan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Gesaan itu dibuat Tan Sri Dr Rais Yatim yang mahu tumpuan diberikan lebih kepada usaha menangani pandemik Covid-19 yang kini semakin menjejaskan kehidupan rakyat.

Beliau berkata, keadaan rakyat kini lebih buruk dengan bencana banjir yang melanda negara.

“Peningkatan jangkitan Covid-19 berupa petanda buruk kepada kehidupan rakyat apatah lagi kepayahan banjir yang menular.

“Jangan layani kemahuan mengadakan PRU15,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Beliau meminta semua pihak bersabar dan bersama-sama mengatasi ancaman yang lebih besar dihadapi negara ketika ini.

“Semua parti politik bersekutulah, sabar dan atasi ancaman terbesar ini dahulu.

“Kecapi dulu dividen Bajet 2021,” katanya.

Malam tadi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bersetuju membawa tiga usul utama yang dibangkitkan ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada hujung bulan ini.

Antara usulnya adalah menggesa PRU dibuat sebelum berakhir suku pertama tahun ini.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang turut mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) malam tadi pula membuat keputusan terus mempertahankan kerjasama antara semua parti yang memberi sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).
-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here