KEADAAN banjir di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak bertambah buruk pagi ini berikutan hujan lebat yang masih berterusan menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri terlibat terus meningkat.
Bagaimanapun, keadaan banjir di Johor dan Sabah beransur pulih dengan jumlah mangsa terus berkurangan di PPS.
Di Pahang jumlah mangsa banjir terus meningkat melibatkan 24,257 mangsa yang ditempatkan di 281 pusat pemindahan di sembilan daerah negeri ini.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Temerloh mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 5,764 diikuti Maran (5,275), Kuantan (3,461), Lipis (2,551), Jerantut (2,455), Raub (2,182), Rompin (986), Pekan (859) dan Bera (724).
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di lima jajahan negeri ini menunjukkan peningkatan ketara apabila 4,829 mangsa ditempatkan di 64 PPS, berbanding 2,142 mangsa petang semalam.
Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Jeli kekal merekodkan bilangan penduduk yang terjejas teruk iaitu 1,688 mangsa, manakala Kuala Krai (1,455), Gua Musang (775 mangsa), Pasir Mas (469) dan Tanah Merah (442).
Sementara itu di Terengganu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman memaklumkan jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 5,243 mangsa setakat 8 pagi ini berbanding 910 mangsa pada 3 petang semalam.
Menurutnya, ketika ini terdapat 39 PPS beroperasi dengan daerah paling teruk terjejas ialah Kemaman melibatkan seramai 4,074 mangsa diikuti Dungun (849), Hulu Terengganu (219), Besut (94) dan Setiu (tujuh).
Di Perak, daerah Hulu Perak menjadi daerah terbaharu terjejas banjir apabila sebuah PPS dibuka menempatkan 16 mangsa banjir, menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini seramai 450 mangsa membabitkan tiga daerah yang ditempatkan di lima PPS.
Bernama melaporkan, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, daerah Hilir Perak masih menempatkan mangsa paling ramai iaitu 409 mangsa, Kampar (25) manakala banjir di Muallim pulih sepenuhnya selepas sebuah lagi PPS ditutup semalam.
Sementara di Johor, jumlah mangsa banjir melibatkan enam daerah terus berkurangan kepada 2,313 mangsa, berikutan enam lagi PPS ditutup sekali gus menjadikan hanya 20 PPS masih beroperasi ketika ini dengan Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 1,110.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan dalam kenyataan juga memaklumkan Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi dan Jalan Haji Suhud di Johor Bahru masih ditutup sepenuhnya untuk semua kenderaan.-Malaysiapost

