Umno mahu PRU-15 diadakan Mac, sokong PN sehingga Februari

0
1

Aiman Hanif

UMNO mahu kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Mac nanti.

Menurut sumber yang juga pimpinan Umno, sebab itu Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahukan wakil rakyat parti itu menarik diri dari kerajaan paling lewat Februari depan.

“Ya, presiden mahu Ahli Parlimen Umno menarik diri dari kerajaan selewat-lewatnya Februari depan.

“Umno mahukan kerajaan membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU-15 bulan Mac nanti sebelum Ramadan.

“Ini kerana kita mahukan mandat rakyat dikembalikan dan kerajaan yang stabil dibentuk,” katanya kepada Malaysiapost.

Hari ini pertemuan ketua-ketua bahagian Umno menyaksikan jawatan Setiausaha Agung BN yang disandang Tan Sri Annuar Musa kini diserah kepada Datuk Seri Ahmad Maslan.

Perkara itu disahkan salah seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

“Beliau (Annuar) bukan dipecat tetapi diambil alih Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan yang juga jadi Setiausaha Agung bersama MN (Muafakat Nasional),” katanya kepada Malaysiapost.

Annuar sejurus selepas dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung BN mengucapkan selamat maju jaya kepada Presiden Umno dan memaklumkan yang beliau mengetahui perkara itu dari media.

Menerusi Twitter, Annuar memuat naik tangkap layar mesej WhatsApp beliau kepada Presiden Umno itu.

Dalam pada itu sumber berkata, berdasarkan keputusan mesyuarat petang tadi, Umno hanya akan menyokongan kerajaan PN sehingga Februari ini.

Bagaimanapun katanya, keputusan muktamad akan dibuat dalam mesyuarat MKT Umno malam esok.

Katanya, tiada alasan untuk kerajaan melambatkan PRU-15 memandangkan vaksi Covid-19 telah pun dimiliki.

“Sebenarnya kita sudah boleh mengadakan PRU memandangkan vaksi Covid-19 pun telah ada.

“Begitu juga Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) juga telah mempunyai standard operasi prosedur (SOP) untuk mengadakan PRU ketika Covid-19,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here