KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) membantah saranan membatalkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan Februari ini.
Setiausaha Agungnya, Harry Tan, berkata SPM adalah peperiksaan awam dan sumatif yang paling penting.
Beliau berkata, sebarang keputusan untuk meminda sijil peperiksaan SPM tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa kerana ia adalah titik permulaan kepada penentu kerjaya masa hadapan seseorang pelajar.
“Peperiksaan SPM adalah peperiksaan terakhir yang akan diduduki oleh pelajar sekolah menengah sebelum memasuki Tingkatan Enam atau pendidikan teknik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen mencadangkan peperiksaan SPM dibatalkan berikutan peningkatan kes Covid-19.
Tan berkata, SPM setaraf dengan Sijil Umum Pendidikan Menengah (GSCE) di England, Wales dan Ireland Utara di mana seramai empat perlima penduduk di Scotland memiliki General Certificate of Education: Ordinary Level (GCE: O Level).
Beliau berkata, ia adalah syarat utama untuk menyambung pelajaran di universiti atau institusi pengajian tinggi di negara berkenaan.
Sehubungan itu, katanya, kita harus mengekalkan standard sijil peperiksaan SPM supaya sistem pendidikan negara bertaraf dunia dan tidak akan dipertikaikan.
“NUTP yakin Kementerian Pendidikan mampu melaksanakan peperiksaan ini berdasarkan kemampuan dan kepakaran yang sedia ada,” katanya. -Malaysiapost
Foto Kredit: The Star

