12 Ketua Umno Bahagian Kelantan sokong keputusan Ahmad Jazlan

0
1

DUA belas Ketua Umno Bahagian Kelantan menyokong keputusan berprinsip Pengerusi Perhubungan negeri itu, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Menerusi kenyataan bersama itu, mereka juga menyatakan pendirian akan berdiri teguh dibelakang Ahmad Jazlan dalam apa jua keputusan dan arahan olehnya kepada mereka bagi mempertahankan Umno.

“Keputusan yang dibuat oleh beliau adalah satu keputusan yang berprinsip dan tidak mementingkan diri demi mempertahankan maruah parti.

“Pendirian yang dinyatakan oleh beliau amat jelas membuktikan bahawa ahli parti jangan takut kehilangan jawatan demi mempertahankan parti.

“Diharap agar pemimpin parti lebih
berprinsip dalam memperjuangkan parti dan mempertahankan hak-hak Umno,” kata kenyataan itu.

Mereka juga berkata, tindakan Ahmad Jazlan itu sebagai peringatan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya jangan memperkecilkan dan membuli Umno seolah-olah parti ini tiada maruah.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah Ketua (Gua Musang); Tan Sri Mohd Fatmi Mohd Salleh (Kota Bharu); Akbar Salim (Rantau Panjang); Mohamed Zulkipli Omar (Kuala Krai); Datuk Zawawi Othman (Pasir Puteh) dan Datuk Zaluzi Sulaiman (Pengkalan Chepa).

Turut sama menyokong, Datuk Zulkifli Abdullah (Tumpat); Datuk Ab Ghani Harun (Pasir Mas); Mohd Zain Yasim (Bachok); Datuk Abdul Aziz Derashid (Jeli); Bakri Yusoff (Kubang Kerian) dan Wan Mohd Adnan Wan Aziz (Machang).

Semalam media melaporkan Ahmad Jazlan mengesahkan telah telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi MPOB berkuat kuasa mulai Rabu ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu menerusi kenyataan memaklumkan surat tersebut dihantar kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali pada jam 4 petang.

Peletakan jawatan itu menyusul selepas beliau menyatakan kesediaan melepaskan jawatan bagi menzahirkan prinsip tidak mahu berkerjasama dengan Bersatu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here