Kecoh- Boleh baliklah, kata Siti Mariah kepada peniaga

0
1

PERJUMPAAN antara peniaga gerai di Puchong Permai dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud, petang semalam bertukar kecoh apabila peniaga tidak berpuas hati dengan penjelasan Adun berkenaan.

Insiden kekecohan itu dikongsikan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Datuk Mohd Ridzuan Abdullah di saluran YouTube miliknya.

Kekecohan berlaku apabila dianggarkan 16 peniaga gerai yang antaranya berniaga tapak yang telah dirobohkan baru-baru ini tidak berpuas hati dengan penjelasan Siti Mariah.

Mereka menjerit, meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan penguatkuasaan yang dilakukan ketika rakyat terbeban dengan Covid-19.

Pertemuan diatur susulan insiden perobohan gerai Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada Isnin lalu.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan Situ Mariah pada sidang akhbar menjelaskan, pihak MBSJ telah membuat bancian peniaga sejak tahun 2019 sebelum tindakan perobohan dilakukan.

Katanya, perobohan dilakukan bagi memberikan laluan kepada kerja naik taraf jalan Persiaran Puchong Permai dengan Jalan Taqwa.

“Lokasi ini tidak sesuai dijalankan aktiviti perniagaan. Susulan itu, seramai 36 peniaga diberikan kiosk di tapak baharu dan berbumbung di Dataran Puchong Permai untuk meneruskan perniagaan,” katanya,

Beliau memaklumkan bahawa terdapat 10 kesalahan yang menyebabkan tindakan perobohan dilakukan.

“Ada pelanggaran syarat oleh peniaga termasuk gerai disewakan kepada pihak ketiga, menggajikan pekerja warga asing dan membina struktur kekal, sedangkan pemegang lesen hanya diberikan permit sementara.

“Selain itu, terdapat peniaga meninggalkan barangan di tapak niaga, menyediakan kerusi meja kepada pelanggan seperti konsep restoran selain menggunakan saiz kanopi yang tidak dibenarkan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak boleh mencampuri tindakan penguatkuasaan dilakukan MBSJ, namun bersedia membantu peniaga terkesan.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here