Nurul Huda Abhar
KERAJAAN Pusat perlu segera mengemukakan cadangan penggantian pembangunan infrastruktur pengangkutan susulan penamatan perjanjian projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
Ia penting dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi Johor dan meningkatkan kesalinghubungan serantau.
Ahli pembangkang Dewan Negeri Johor berkata, mereka akan mengemukakan cadangan pembangunan jaringan infrakstruktur pengangkutan di kawasan yang terlibat kepada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dalam masa terdekat demi kesejahteraan keseluruhan rakyat Johor.
“Johor telah menjadi penyumbang keempat dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan dengan nilai RM134 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Namun begitu, jaringan infrastruktur pengangkutan tidak menterjemahkan sumbangan pacuan ekonomi berkenaan.
“Malah, kelemahan jaringan sistem pengangkutan di Johor telah ditekankan menjadi teras dan tumpuan oleh kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 yang memangkin pembangunan ekonomi berdaya tahan sekali gus memberi limpahan kemakmuran kepada negeri dalam tempoh 10 tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kenyataan tersebut mewakili Tan Hong Pin Adun Sukdai, Chew Chong Sin Adun Mengkibol, Yeo Tung Siong, Adun Pekan Nenas, Ng Yak Howe Adun Bentayan, dan Gan Peck Cheng Adun Penggaram.
Menurut kenyatan itu, Koridor pantai barat yang merangkumkan daerah Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat dan Muar memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Johor.
Bagaimanapun, mereka menyatakan infrastruktur pengangkutan yang terkebelakang di kawasan tersebut secara tidak langsung merencatkan usaha untuk mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (IKS).
“Lantaran itu, jaringan infrastruktur pengangkutan negeri perlu disegerakan bagi memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi.
“Laluan Persekutuan 5 dan Lebuhraya Utara- Selatan dua lorong di Johor kebanyakannya tidak lagi mampu menampung keperluan malah merencatkan pengurusan logistik akibat perlu menghadapi kesesakan serius.
“Seramai lapan anak Johor yang menganggotai jemaah menteri dan timbalan menteri di peringkat Persekutuan perlu memainkan peranan dan mengambil peluang untuk menggesa Kerajaan Persekutuan melaksanakan segera langkah transformasi jaringan infrastruktur pengangkutan di Johor,” ujar mereka. – Malaysiapost

