Sambutan tahun baharu 2021 dalam norma baharu

0
1

AMBANG tahun baharu malam tadi, disambut dalam suasana berbeza susulan penularan pandemik Covid-19 yang menuntut norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Tinjauan Malaysiapost, mendapati lokasi yang sering dikunjungi orang ramai setiap kali menjelang malam tahun baharu termasuk di pekarangan Bangunan Sultan Abdul Samad lengang, susulan kawalan pihak berkuasa.

Kawalan anggota polis dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu bagi mengelak sebarang penganjuran sambutan yang mengundang perhimpunan ramai.

Sementara di Putrajaya, mendapati rata-rata pengunjung di lokasi tumpuan hanya berkumpul dalam kelompok kecil yang kurang daripada lima orang.

Berita Harian melaporkan, tinjauan mendapati ada pengunjung dilihat membawa anak bermain belon buih sabun di sekitar Dataran Putrajaya di Presint 3.

Pada masa sama, anggota polis membuat pemantauan dan membantu kelancaran trafik di sekitar dataran berkenaan.

Ketika ditemui, rata-rata pengunjung mengaku tahu bahawa tiada acara khusus atau pertunjukan bunga api diadakan bagi menyambut tahun baharu 2021.

Pengunjung dari Banting, Afif Azahar, 30, tidak menafikan suasana sambutan tahun baharu kali ini memang amat berbeza susulan pandemik Covid-19.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, berkata pihaknya akan menjalankan Ops Ambang Tahun Baharu selama empat hari hingga 4 Januari ini.

“Kita akan mempertingkatkan rondaan dan memantau pematuhan SOP.

“Setakat ini, kita mendapati tahap pematuhan SOP oleh penduduk di Putrajaya adalah tinggi,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, memaklumkan polis menolak tiga permohonan bagi meraikan sambutan tahun baharu di ibu negara, malam tadi.

Beliau berkata, perkara itu diambil maklum Ketua Polis Kuala Lumpur dan keputusan menolak permohonan terbabit dibuat kerana tidak membantu pematuhan SOP Covid-19 ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sekiranya permohonan ini diluluskan, kita bimbang akan menyebabkan kehadiran orang dalam kapasiti yang ramai. Tempat itu akan jadi padat.

“Saya tekankan sebarang perhimpunan khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah salah,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here