Ombak besar: Pantai Miami ditimbuni pasir, sampah

0
1

KEJADIAN air pasang besar semalam, menyebabkan pantai Miami di Kuala Nerus dipenuhi sampah dan timbunan pasir sejauh kira-kira satu kilometer.

Susulan itu, laluan dari Seberang Takir ke Bandaraya Kuala Terengganu terpaksa ditutup kepada semua lalu lintas berikutan timbunan pasir.

Bagaimanapun, tiada kerosakan jalan berlaku walaupun pantai itu dibadai ombak besar semalam.

Fenomena ombak besar di beberapa pantai di negeri itu termasuk di pantai Miami berlaku kira-kira 10.20 malam tadi.

Berikutan itu, pantai berkenaan dibadai ombak besar setinggi antara 2.5 meter (m) dan 2.7 m.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati lebih 100 individu termasuk membawa kanak-kanak dan anak kecil berdiri di atas batu yang dijadikan benteng pemecah ombak.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menjelaskan, jalan dari Seberang Takir ke pusat Bandaraya Kuala Terengganu akan ditutup kepada semua lalu lintas mulai jam 8 malam ini.

Jelasnya, penutupan laluan itu dilakukan untuk memastikan keselamatan orang ramai susulan fenomena ombak besar dijangka berlaku malam ini dan malam esok.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) dijangka akan melakukan kerja pembersihan membuang timbunan pasir dan sampah dihanyutkan ombak besar pagi ini.

“Kami meminta orang ramai supaya menjauhi kawasan itu susulan ombak masih tinggi berikutan angin kencang, ” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dalam pada itu, Che Adam menjelaskan, walaupun kerajaan negeri tidak menganjurkan sambutan tahun baharu malam tadi, tetapi keghairahan orang ramai untuk ke dataran drawbridge malam tadi menjadi punca kawasan itu sesak.

“Kami meminta orang ramai yang ingin ke dataran drawbridge malam ini dan esok membatalkan hasrat menggunakan laluan itu kerana boleh membahayakan keselamatan, “katanya. -Malaysiapost

Foto Kredit: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here