TEPAT jam 12 tengah malam tadi, pasangan selebriti popular Fattah Amin dan Nur Fazura buat kali pertama berkongsi wajah puteri tersayang, Nur Fatima Aisya kepada peminat.
Foto keluarga yang dikongsi pasangan itu dalam akaun Instagram (IG) masing-masing itu, menerima reaksi peminat yang rata-rata teruja melihat wajah bayi mereka.
Menerusi foto itu, Fatima yang didukung Fazura, tampak comel dalam persalinan gaun berenda dan bertopi.
Fattah dan Fazura turut mengucapkan selamat menyambut tahun baharu 2021 kepada peminat dan pengikut mereka.
“Selamat Tahun Baharu 2021. Salam Sayang. Fattah, Fazura dan Fatima,” kata pasangan itu.
Pada 2 Oktober lalu, Fazura selamat melahirkan bayi perempuan selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga bersama Fattah.
Sebelum ini, Fattah dan Fazura tidak mendedahkan wajah penuh bayinya comel dan berkulit cerah itu.
Pasangan itu sebaliknya, memohon diberi sedikit masa untuk mendedahkan wajah anak hingga tiba waktu sesuai. -Malaysiapost

