Dedah parti politik terbabit isu kartel daging

0
1

DEDAHKAN kepada umum parti politik yang terlibat dalam skandal kartel daging import, kata Exco Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid.

Beliau berkata, dakwaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) bahawa ada parti politik besar terbabit dengan isu kartel daging import haram wajar diberi perhatian serius.

“Kita menggesa pihak berkuasa agar menyiasat dakwaan berkenaan kerana ia satu isu membabitkan kepentingan umat Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Ini perkara serius yang tidak boleh diambil mudah. Pihak berkuasa perlu menyiasat dan mendedahkan kepada umum parti politik mana yang terbabit dengan kartel daging haram ini.

“Apakah ini membabitkan parti politik pembangkang. Kalau parti pembangkang, parti mana? Ini perlu didedahkan kepada umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mustafa berkata, difahamkan berdasarkan laporan polis yang dibuat JMM, parti politik itu juga terbabit dalam usaha menjatuhkan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Beliau berkata, isu itu membabitkan soal halal haram makanan yang tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

Katanya, beliau membangkitkan isu itu bukan bermotifkan politik, sebaliknya untuk mencari jawapan kepada satu permasalahan yang serius.

“Ini bukan soal politik. Ini satu permasalahan yang serius. Jika benar ada parti politik terbabit kita nak tahu parti mana, bagaimana pembabitan mereka dan paling penting kenapa mereka berbuat demikian,” katanya.

Selasa lalu, JMM menggesa polis menyiasat pembabitan ahli politik yang dipercayai turut bekerjasama dengan sindiket kartel daging sejuk beku import.

Presidennya, Hamdan Salleh berkata, ia termasuklah ahli politik yang didakwa cuba menghalang tertubuhnya syarikat Melayu bumiputera di bawah kerajaan seperti NFC bersama pihak kartel. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here