DATUK Seri Najib Razak mempersoalkan penafian yang dibuat bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berhubung dakwaan beliau dan keluarganya menerima sejumlah wang daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, banyak perkara yang tidak dinyatakan atau dijelaskan oleh Zeti berhubung perkara itu.
“Baru tadi (malam tadi) Zeti keluarkan kenyataan rasmi yang menafikan keluarga dia pernah menerima dana dari 1MDB.
“Tapi apa yang dia tak nyatakan adalah,
pernahkah keluarga dia terima dana dari Jho Low termasuk dana yang berasal dari 1MDB?
“Adakah akuan-akuan bersumpah yang kami telah sahkan dengan lawyer mereka adalah palsu?,” soalnya dalam hantaran di Facebook.
Selain itu, Najib berkata, Zeti juga tidak membuat penjelasan mengenai dakwaan yang keluarganya pernah diambil tindakan jenayah oleh Singapura berhubung dana yang berasal dari 1MDB.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, malah Zeti juga tidak menjelaskan sama ada syarikat Cutting Edge Industries Ltd milik keluarga mereka atau tidak.
“Kenyataan rasmi Zeti bukan boleh dipercayai pun.
“Sejurus selepas PRU-14, bekas Gabenor BNM sejak tahun 2000 pernah mengeluarkan satu kenyataan yang kata dia nafi tahu kewujudan dana atau tahu mengenai apa-apa transaksi dalam akaun saya termasuk dana yang dikatakan RM2.6b itu.
“Mana mungkin seorang Gabenor BNM boleh tidak tahu apabila dana asing berjumlah berbilion-bilion masuk ke dalam akaun bank atas nama Perdana Menteri sedangkan setiap transaksi besar dari luar negara perlu kelulusan BNM,” katanya.
Najib berkata, tahun lalu, bekas pengurus besar Ambank juga memaklumkan mahkamah dalam perbicaraan kes SRC, bahawa beliau sendiri telah berjumpa dan menyerahkan dokumen berhubung transaksi akaun atas namanya kepada Zeti berkali-kali.
Dalam kenyataan malam tadi, Zeti menafikan dakwaan bahawa beliau dan keluarganya menerima wang daripada 1MDB.
Zeti mendakwa, ada laporan media yang tidak betul telah mengaitkan diri dan keluarganya dengan syarikat berkenaan.
“Tuduhan terhadap saya dan keluarga sama sekali palsu serta berniat jahat,” katanya.
Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan ada ahli keluarga Zeti, termasuk suami dan anaknya, didakwa menerima dana lebih RM100 juta daripada ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang menjadi buruan pihak berkuasa berhubung skandal dana 1MDB. -Malaysiapost

