Nilam Oshman
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pemimpin dan ahli Umno akar umbi, supaya beranikan diri bersuara dan jangan biarkan parti dikuasai musuh.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pada 3 Januari ini akan bersidang Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di seluruh negara.
Katanya, inilah peluang untuk akar umbi menilai perkembangan sepanjang tahun ini untuk menentu sendiri ke mana hala tuju Umno.
“Setuju atau tidak, dengan siapa, kenapa, bagaimana, suarakan, bahaskan dan usulkan.
“Umno bukan milik mana-mana individu, Umno bukan milik mana-mana pemimpin. Janganlah kita benarkan Umno dipengaruhi mana-mana oleh musuh dalam selimut mahupun pihak luar,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook hari ini.
Najib berkara, Umno milik rakyat dan akar umbi yang setia selama-lamanya.
dan beliau menasihati ahli parti supaya berani.
“Selama ini kita telah berdepan pelbagai cabaran, rintangan dan penindasan lebih-lebih ketika 2018, 2019 masa Pakatan Harapan menjadi kerajaan.
“BN sudah Innalillah… Umno sudah hancur kata mereka, ada yang mahu Umno dihapuskan tetapi Umno tetap utuh dan terus kekal berdiri,” katanya.
Beliau berkata, Umno dan BN kekal kukuh hingga hari ini dengan kesetiaan dengan akar umbi dan sokongan rakyat dari Perlis hingga ke Sabah.
“Umno dan BN terus ikhlas dalam perjuangannya untuk rakyat.. ini yang saya mahu setiap ahli Umno pertingkatkan lagi (usaha).
“Banyak lagi dasar-dasar yang baik untuk rakyat yang perlu kita perjuangkan beranikan diri. Lawan tetap lawan tiada ikatan politik yang lebih penting antara kita dan rakyat.
“Rakyat didahulukan kini dan selamanya.. Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kita untuk agama, bangsa dan tanah air. InshaAllah,” katanya.
Najib berkata banyak perkara yang telah berlaku sepanjang tahun ini.
“Sama ada dari segi kerjasama dan persefahaman politik dalam barisan Umno yang telah termeterai sejak sekian lama.. Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Selain pendapat-pendapat dalam menghadapi PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15) dan untuk jangka masa yang panjang,” katanya. -Malaysiapost

