POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menolak tiga permohonan bagi meraikan sambutan tahun baharu di ibu negara, malam ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata perkara itu diambil maklum Ketua Polis Kuala Lumpur dan keputusan menolak permohonan terbabit dibuat kerana tidak membantu pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sekiranya permohonan ini diluluskan, kita bimbang akan menyebabkan kehadiran orang dalam kapasiti yang ramai. Tempat itu akan jadi padat.
“Saya tekankan sebarang perhimpunan khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah salah,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Abdul Hamid berkata, PDRM akan membuat rondaan pada malam ini bagi memastikan tidak berlakunya sebarang perhimpunan sambutan tahun baru di mana-mana tempat.
Katanya, tindakan pihaknya menolak permohonan terbabit adalah konsisten dengan tindakan KKM.
“Sekiranya kita kesan masih ada yang ingkar untuk berkumpul, kita akan ambil tindakan kompaun dan sekali lagi diingatkan, kita tidak benarkan sama sekali,” katanya. -Malaysiapost
Foto Kredit: Bernama
