Wanita pukul kucing bunting dengan batang besi hingga mati

0
1

KEJAM! Itulah dapat digambarkan tindakan seorang wanita memukul seekor kucing sedang bunting hingga mati manakala seekor lagi cedera dengan sebatang besi di sebuah pangsapuri di Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.

Kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu dikatakan berpunca apabila wanita berkenaan berang kerana mendakwa beberapa ekor kucing telah membuang najis di hadapan rumahnya di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata tindakan suspek berusia 51 tahun itu telah disaksikan oleh seorang lelaki yang tampil membuat laporan polis.

“Menurut pengadu (saksi), suspek telah memukul dua ekor kucing yang sedang diberi makan oleh rakan pengadu dengan sebatang besi yang diambil dari dalam sebuah kereta.

“Akibat kejadian itu, salah seekor kucing tersebut yang bunting mati, manakala seekor anak kucing luka pada mulut,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Shafee berkata, saksi itu kemudiannya menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) sebelum kucing tersebut diambil dan dibawa ke ibu pejabat JPV di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam.

“Polis telah menahan suspek yang bekerja sebagai seorang broker itu dan soal-siasat mendapati dia tiada sebarang rekod lampau,” katanya.

Shafee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here