Siasat dakwaan keluarga Zeti terima dana 1MDB – Pemuda Umno

0
2

PEMUDA Umno mendesak supaya siasatan khusus dijalankan terhadap dakwaan syarikat dimiliki suami bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Abdul Aziz yang menerima dana daripada ahli perniagaan, Jho Low.

Exco Pemuda Umno, Datuk Shahrul Nasrun Kamaruddin, berkata pihaknya mahu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada transaksi yang membabitkan keluarga bekas gabenor itu berkait dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, terdapat keraguan yang membimbangkan berkenaan pendedahan mengenai penglibatan tiga individu yang didakwa ahli keluarga Zeti.

“Sebuah syarikat didakwa menerima wang berjumlah USD16,219,409.23 daripada entiti yang mempunyai pendaftaran di bawah nama Jho Low.

“Juga disebut dalam laporan itu, Tan Sri Zeti dan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah telah berjumpa dengan Jho Low beberapa kali dan mereka mempunyai makluman mengenai bayaran yang telah diterima oleh suami dan anak-anak Tan Sri Zeti,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata, Pemuda Umno juga khuatir kerana sehingga hari ini Zeti yang merupakan antara individu bertanggungjawab kini berdiam diri mengenai dakwaan berkenaan.

Justeru, katanya Pemuda Umno mahu pendedahan yang melibatkan soal integriti dalam kalangan penjawat jawatan tertinggi di institusi kewangan tertinggi di Malaysia diberikan keadilan sewajarnya.

“Rakyat Malaysia pastinya mahukan kebenaran terungkai dalam usaha kita bagi membersihkan semula nama negara tercinta ini di mata dunia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here