
Muhammad Mustakim Ramli
BUKAN sahaja kes berprofil tinggi bagi tahun 2020 tetapi kes yang pastinya terpahat dalam lipatan sejarah apabila seorang ketua negara diheret ke mahkamah dan didapati bersalah.
Tarikh 28 Julai 2020 menjadi detik pertama kali buat seorang yang pernah menjadi Perdana Menteri Malaysia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.
Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Ketika membacakan hukuman itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib dipenjarakan 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim turut memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.
Walaupun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, namun hakim memerintahkan semua hukuman berjalan serentak, bermakna Najib hanya menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Pada 21 Disember pula menyaksikan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Ahli Parlimen Putrajaya dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Pengarah AKSB, Tan Sri Chai Kin Kong.
Tengku Adnan dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, didakwa menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong.
Kin Kong, memberikan wang itu melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja rasminya.
Kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lalu juga menyaksikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut diheret ke mahkamah.
Pada 10 Ogos lalu beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas 12 pertuduhan pindaan bagi kes pecah amanah dan dua pertuduhan pindaan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Collin Lawrence Sequerah mengarah pertuduhan pindaan dibacakan kepada Ahmad Zahid, 67, selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda 14 pertuduhan itu.
Pertuduhan pindaan itu membabitkan penambahan satu perkataan, iaitu ‘penguasaan’ dalam pertuduhan pecah amanah pertama hingga 10 serta 19 dan 20, serta membuang perkataan ‘penambahan’ dalam pertuduhan rasuah ke-14 dan 15.
Mengikut 12 pertuduhan pindaan, Ahmad Zahid sebagai pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas harta itu milik yayasan berkenaan, didakwa melakukan pecah amanah RM31 juta milik yayasan terbabit di Affin Bank Bhd cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pindaan rasuah pula, Ahmad Zahid didakwa menerima rasuah daripada Pengarah Data Sonic Group Berhad, sebagai upah bagi dirinya sebagai penjawat awam, iaitu Menteri Dalam Negeri ketika itu, dan oleh sebab itu, syarikat berkenaan dilantik bagi melaksanakan perolehan pembekalan cip pasport untuk tempoh lima tahun.
Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank cawangan Dataran Maybank, Jalan Maarof, Bangsar pada 26 April 2017.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Selain itu, pada tarikh sama, bekas Menteri Kewangan era Pakatan Harapan, Lim Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen berhubung kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Guan Eng dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima wang suapan RM3.3 juta bagi membantu sebuah syarikat dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, Guan Eng, semasa menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, didakwa menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya wang RM3,300,000 sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6,341,383,702. – Malaysiapost



