Muhammad Mustakim Ramli
KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli akan memperkenalkan Program Net Energy Metering (NEM) 3.0 dengan tawaran kuota sebanyak 500MW bagi tempoh 2021 hingga 2023.
Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata melalui program itu, kementerian akan memperkenalkan tiga inisiatif yang membuka peluang kepada semua pengguna elektrik untuk memasang solar PV di bumbung bangunan masing-masing bagi menjimatkan bil elektrik mereka.
Selain itu, katanya, NEM 3.0 memperkenal inovasi baharu menggunakan konsep NEM maya atau virtual NEM dengan membenarkan pemilik bangunan komersial dan industri berkongsi lebihan tenaga dengan bangunan mereka di lokasi berlainan.
“Memandangkan hanya lima peratus permohonan di bawah Program NEM 2.0 adalah pengguna elektrik kategori domestik, kementerian akan memperkenalkan Program NEM Rakyat bertujuan menggalakkan lebih ramai pengguna domestik menikmati penjimatan bil elektrik melalui pemasangan solar PV.
“Program NEM Rakyat mengekalkan konsep 1 to 1 offset dengan kuota sebanyak 100MW atau sehingga kesemua kuota tersebut habis. Program ini memberi manfaat pengurangan bil elektrik kepada 10,000 – 25,000 pemilik akaun domestik TNB atau kira-kira 40,000 – 100,000 isi rumah di Semenanjung Malaysia.
“Pengguna akan menikmati kadar offset 1 to 1 selama 10 tahun dan seterusnya mendapat penjimatan bil elektrik melalui konsep self-consumption selepas tamat tempoh tersebut.
“Permohonan boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) mulai 1 Februari 2021 hingga 31 Disember 2023,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Shamsul berkata bagi mengurangkan bil elektrik di bangunan-bangunan Kerajaan, Program NEM GoMEn (Government Ministries and Entities) akan diperkenalkan dengan kuota 100MW.
Katanya, Program NEM GoMEn akan mengekalkan konsep 1 to 1 offset selama 10 tahun dan menggunakan konsep self-consumption selepas tempoh tersebut.
“Kira-kira 100 agensi kerajaan di Semenanjung dijangka menikmati penjimatan bil elektrik yang dianggar berjumlah RM6 juta sebulan.
“Permohonan kuota program ini boleh dikemukakan kepada SEDA mulai 1 Februari 2021 hingga 31 Disember 2023 atau hingga semua kuota tersebut habis,” katanya.
Beliau juga memaklumkan untuk membantu pengguna bukan domestik daripada kategori komersial dan industri yang terkesan akibat pandemik Covid-19, satu inisiatif baharu iaitu Program NOVA (Net Offset Virtual Aggregation) akan diperkenalkan.
Katanya, program itu membolehkan usahawan, syarikat tempatan dan rumah-rumah ibadat menjimatkan bil elektrik dan mengurangkan ‘cost of doing business’ berdasarkan elemen-elemen berikut iaitu:
- Mendapatkan bekalan elektrik secara langsung daripada sistem solar PV yang dipasang di bumbung premis bangunan dan mengurangkan pembelian elektrik daripada syarikat utiliti;
- Menjual lebihan tenaga elektrik daripada sistem solar PV kepada sistem grid pada harga pasaran atau System Marginal Price (SMP) sebagai kredit tenaga dalam
bil elektrik bulan berikutnya; - Dan melakukan offset lebihan tenaga elektrik melalui pengagihan secara maya (virtual aggregation) bagi 1 hingga 3 akaun bil elektrik di bawah pemilik yang sama.
“Permohonan bagi Program NOVA akan dibuka mulai 1 April 2021 sehingga 31 Disember 2023 atau sehingga kesemua kuota habis diagihkan. Perincian pelaksanaan program ini akan diumumkan sebelum permohonan dibuka,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan berharap pelaksanaan NEM 3.0 akan membolehkan lebih ramai rakyat, agensi kerajaan, rumah-rumah ibadat serta syarikat dan usahawan tempatan untuk terbabit dalam agenda pembangunan tenaga boleh baharu negara di samping membantu menjimatkan bil elektrik bagi meringankan impak penularan pandemik Covid-19. – Malaysiapost

