KELUARGA kepada pembantu rumah, Titik Sukamti yang maut dalam kemalangan di Pulau Pinang memaklumkan penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad seorang majikan yang bertanggungjawab.
Masrukin, 66, yang juga kakak kepada mangsa menyatakan selepas tragedi itu, Syafiq sering menghubungi keluarga Titik di Indonesia.
“Syafiq seorang yang bertanggungjawab, beliau sering menghubungi kami untuk bertanya khabar terutamanya dengan anak-anak Titik.
“Syafiq amat sedih, dia juga berjanji untuk menghulurkan bantuan sekiranya ada pihak yang memerlukan selepas jenazah Titik di bawa pulang,” katanya seperti dilapor Kompas.com.
Jelas Masrukin, Syafiq sebelum ini berniat untuk membawa ahli keluarga termasuk anak dan Titik menunaikan ibadah umrah.
“Syafiq bercadang membawa keluarganya termasuk Titik untuk menunaikan umrah. Kami sangat gembira kerana menunaikan ibadah di Mekah adalah impian adik saya ketika dia masih hidup,” katanya.
Selepas menunggu hampir tiga minggu, jenazah Titik tiba di rumahnya yang terletak di Kampung Nambuhan, Daerah Purwodadi, Wilayah Jawa Tengah semalam.
Ahli keluarga sebak dan menangis sejurus melihat jenazah Titik dibawa keluar dari ambulans.
Pada 6 Disember lalu, Syafiq dalam perjalanan membawa isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, yang sedang berpantang ke kampung mertuanya di Pendang, Kedah terbabit dalam kemalangan jalan raya.
Kenderaan Syafiq terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Bakap, Pulau Pinang sehingga meragut nyawa ibu mentua, anaknya yang baru berusia dua bulan dan Titik, sementara beliau, isteri dan anak sulungnya cedera parah.- Malaysiapost

