Nurul Huda Abhar
PEMUDA Umno menegaskan PAS masih kekal bersama Muafakat Nasional (MN) dan menolak khabar angin bahawa parti Islam itu tidak lagi bekerjasama dengan Umno.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu disahkan Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
“PAS masih kekal bersama MN. Khabar angin disebarkan melalui media sosial kononnya PAS membatalkan kerjasama dengan Umno dan Piagam MN adalah palsu dan fitnah.
“Ini disahkan sendiri oleh sahabat saya Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Pengarah Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang berkunjung ke pejabat saya petang tadi,” katanya di Facebook, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial kenyataan kononnya PAS membatalkan kerjasama dengan Umno.
Kenyataan itu juga berkata PAS dan Bersatu akan bertanding dalam semua kerusi Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.
Semalam, PAS menafikan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, mengeluarkan kenyataan kononnya parti itu membatalkan kerjasama dengan Umno dalam MN.
Melalui akaun Facebook rasmi Abdul Hadi semalam, Setiausaha Akhbarnya, Abdul Malik Ab Razak menegaskan kenyataan yang disebarkan itu adalah palsu. – Malaysiapost
