‘Main kayu tiga’ bukan konspirasi?’ – Puad soal Takiyuddin

0
1

CADANGAN untuk menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tidak akan membawa kepada perpecahan orang Melayu.

Itu penjelasan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyifatkannya demi rakyat memandangkan kerajaan gagal memenuhi janji.

“Saya tidak fikir cadangan tarik balik sokongan daripada Muhyiddin sebagai PM membawa kepada perpecahan. Ini untuk rakyat, kerana janji memudahkan rakyat tidak dipenuhi.

“Apabila PAS berkawan dengan DAP, apakah itu perpecahan Melayu? Apabila PAS berpisah dengan DAP, ia juga tidak dianggap sebagai pepecahan masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menegur Mohd Puad agar mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negara.

Menurut Takiyuddin, legasi paling murni bagi seorang pemimpin sejati adalah merangka dan mempertahankan penyatuan dan perpaduan dalam masyarakat dan negaranya.

Mohd Puad berkata, menurut Takiyuddin, ‘legasi paling murni’ ialah pemimpin itu mempertahankan penyatuan dan perpaduan dan ia mesti berasaskan kejujuran kerana jika tidak, ia adalah konspirasi.

“Namun, tidak pasti siapa ‘pemimpin legasi’ yang Takiyuddin maksudkan. Tidak mungkin saya. Saya hanya ahli politik biasa yang bersuara ikut “hati nurani” saya,” katanya.

Mohd Puad berkata, peluang penyatuan terbesar ialah apabila Umno-PAS tandatangan Piagam Muafakat Nasional (MN).

“Peluang itu akan terlepas begitu sahaja kerana banyak sangat pakatan, gagasan dan gabungan yang mahu disertai.

“Takiyuddin adalah betul dalam soal kejujuran politik. Tanpa kejujuran politik Ia adalah konspirasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, sebenarnya Ahli Parlimen Umno sudah bersikap jujur kerana menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri walaupun beliau terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Umno di PRU-14.

“Datuk Seri Najib (Razak) juga buat kenyataan jujur dan terbuka mengenai “sokongan bersyarat” terhadap Bajet di Dewan Rakyat.

“Bahkan Najib juga secara jujur membuat kenyataan terbuka, jika tiada perubahan dan kerajaan PN terus berdolak dalik selepas satu tempoh yang munasabah, BN masih ada cara untuk bertindak.

“Semua itu terbuka. Tiada sembunyi sembunyi,” katanya.

Beliau berkata, PAS mungkin selesa kerana dalam PN dan MN tiada Parti Amanah Negara (Amanah) untuk membuat ‘kacau’.

“Justeru, yang perlu Takiyuddin jawab ialah, apakah ‘main kayu tiga’ bukan konspirasi?,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here