‘Akar Muhyiddin terus mencengkam, kita masih bertelagah’ – Mohamad Sabu

0
2

PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh berterusan bertelagah sesama sendiri, sedangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mencengkam akar di singgahsana tampuk pemerintahan negara.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mendesak pemimpin PH berhenti bertelingkah sesama sendiri dalam penentuan siapa yang lebih layak menjadi ketua kepada pakatan pembangkang itu ketika ini.

Bekas Menteri Pertahanan itu mengingatkan PH supaya menjadikan kesilapan musuh sebelum ini sebagai tauladan, PH tidak boleh berterusan berentakan kerana ia akan melemahkan pembangkang dan bakal tewas pada pilihan raya umum akan datang.

“Beralih sedikit kepada bibit keretakan dan kelompangan yang kita saksikan dalam mengembalikan mandat rakyat khususnya mengenai soal kepimpinan ketua negara amat menginsafkan.

“Jangan antara kita bertelagah siapa nak jadi ketua, sedangkan Muhyiddin terus berakar umbi di sana (Putrajaya),” katanya ketika menyampaikan pidato Presiden pada Konvensyen Amanah Nasional yang berlangsung di Melaka, hari ini.

Sehari selepas Kerajaan PN gagal ditumbangkan pada Belanjawan 2021, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan bersama cadangan langkah ke depan pembangkang sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah-tengah kehangatan kononnya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan termasuk dari kalangan ahli Parlimen BN, namun masih gagal menjatuhkan kerajaan pada Belanjawan 2021

Dalam kenyataan itu, Mohamad Sabu dan Guan Eng mengingatkan agar PH melupakan pada ‘bayang-bayang’ menjadi kerajaan dan tidak berharap kepada ahli parlimen dalam kerajaan untuk mengembalikan mandat yang mereka perolehi.

Sebaliknya, PH wajar mencari persamaan dalam kalangan parti pembangkang untuk membentuk kerjasama lebih luas bagi mengalahkan PN pada pilihanraya umum akan datang

Dalam pada itu, Mohamad Sabu berkata, parti itu tidak menolak bahawa kejayaan PH menumbangkan BN adalah kerana pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar.

Ahli Parlimen Kota Raja itu menafikan yang pemimpin utama PH tidak lagi berhubung dengan Dr Mahathir.

“Kita sering berbincang dalam mesyuarat-mesyuarat PH, sama ada kita nak mengambil ahli kerajaan secara cukup bilang ahli Parlimen yang menyokong atau pun nak hadapi pilihan raya.

“Kita akan berbincang dan akan membuat keputusan bersama (pembangkang yang lain),” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here