SEBANYAK 1,247 kes baharu jangkitan Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes positif di Malaysia sebanyak 101,565.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan dalam negara adalah sebanyak 1,245 kes.
“Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 461 kes. Ini diikuti oleh Sabah yang melaporkan sebanyak 225 kes dan Johor sebanyak 205 kes.
“Ingin dimaklumkan, terdapat pertambahan tiga kes kematian Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 449 kes (0.44 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat 108 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 47 kes memerlukan bantuan pernafasan. -Malaysiapost

