KEMENTERIAN Pengangkutan bercadang memodenkan perhidmatan feri Pulau Pinang demi keselamatan dan keselesaan penumpang.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata aspek keselamatan penumpang feri menjadi keutamaan penting kepada kementeriannya.
Beliau berkata, perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan tanah besar di Seberang Perai dengan pulau di negeri itu sejak 126 tahun lalu adalah perkhidmatan feri paling bersejarah dalam negara.
“Oleh itu, tidak dinafikan perkhidmatan feri ini membawa nilai sejarah dan warisan yang sangat bermakna kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ka Siong berkata, beliau sudah menerangkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini berhubung perancangan kerajaan menaiktaraf feri sedia ada mengambil kira keselamatan, keberlanjutan atau daya tahan dan keselamatan penumpang.
Beliau berkata, perancangan kerajaan itu bagi memastikan perkhidmatan feri akan terus dinikmati rakyat tempatan dan pelancong.
Beliau berharap Kon Yeow faham hasrat kerajaan supaya perkhidmatan feri itu dapat diteruskan demi kebaikan semua pihak. – Malaysiapost

