ASB umum dividen 5.0 sen, agihan terendah sejak 1990

0
2

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.0 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 Disember 2020.

Pengagihan pendapatan ASB itu merangkumi 4.25 sen seunit dan pengagihan ehsan 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama pemegang unit sempena ulang tahun ke-30 ASB.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, ia membabitkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM7.6 bilion kepada 10.2 juta pemegang unit dengan pelaburan berjumlah 173.2 bilion unit.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz, berkata pengagihan pendapatan ASB kekal kompetitif meskipun berdepan cabaran ekonomi akibat Covid-19.

“Bagi pemegang lebih 30,000 unit, mereka juga menerima manfaat pengagihan ehsan ini sebagai tanda penghargaan kami kepada pemegang unit ASB yang terus setia bersama kami sepanjang 30 tahun dana ini diperkenalkan,” katanya ketika mengumumkan pengagihan pendapatan ASB secara dalam talian, hari ini.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.

Pada tahun 2019, PNB mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 5.00 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

Pada 2018, dividen sebanyak 6.50 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit diumumkan manakala, pada 2017 (dividen 7.00 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit) termasuk tambahan 1.00 sen seunit bagi bonus khas ulang tahun PNB.

Pada 2016, PNB mengumumkan agihan dividen sebanyak 6.75 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit manakala, pada 2015 (dividen 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit). -Malaysiapost

Foto kredit : NSTP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here