KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan mutasi baharu virus Covid-19 di negara ini yang dikenali sebagai A701B.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mutasi berkenaan dikesan hasil kajian terhadap sampel dari Sabah.
“Mutasi itu dikesan hasil ujian terhadap 60 sampel daripada kluster Benteng Lahad Datu,” katanya menerusi sidang media harian.
Katanya, Kementerian Kesihatan belum dapat menyimpulkan sama ada mutasi baharu itu memiliki tahap kebolehjangkitan yang tinggi atau bersifat ‘ganas’.
Sementara itu, beliau berkata KKM mengenal pasti lima kluster baharu yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Selangor, Sabah, Kedah, Pahang dan Perak, hari ini.
Katanya, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Tapak Bina Jalan Panah yang dilaporkan di sebuah tapak binaan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.
“Kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Menara Wang yang dilaporkan di Lembah Pantai, Cheras dan Titiwangsa, Kuala Lumpur serta Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat di Selangor selain Maran dan Kuantan Pahang.
“Kuster ketiga dikenal pasti adalah Kluster Saga Tengah Residen yang dilaporkan di Tenom dan Keningau, Sabah dan kluster keempat dikenal pasti adalah Kluster Kolam Air yang dilaporkan di Kota Setar dan Kubang Pasu, Kedah,” katanya.
Beliau kluster kelima yang dikesan adalah Kluster Hala Mutiara yang dilaporkan di Kinta, Perak.-Malaysiapost
