Ku Nan kemuka rayuan hukuman penjara 12 bulan, denda 2 juta

0
2

BEKAS Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah mengemukakan rayuan berhubung
hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Peguamnya, Datuk Tan Hock Chuan hari ini mengesahkan bahawa mereka telah mengemukakan Notis Rayuan itu semalam.

“Notis Rayuan dikemukakan semalam. Ia dilakukan melalui e-filing (dalam talian),” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Semalam, Tengku Adnan dihukum penjara 12 bulan dan denda RM2 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati Tengku Adnan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menjalani tambahan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula semalam.

Bagaimanapun, Hock Chuan memohon penangguhan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Tan Sri Chai Kin Kong yang juga Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB yang telah didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here