Ikatan enggan ‘kongsi nama’ dengan MUDA

0
1

PARTI Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) membantah sekeras-kerasnya penggunaan nama ‘Ikatan’ dalam Parti Ikatan Demokratik MUDA (MUDA) kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Setiausaha Agungnya, Tengku Ahmad Mudzaffar Tengku Zaid, berkata beliau mewakili presidennya, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir serta ahli majlis tertinggi membantah perkara berkenaan.

Katanya, bantahan itu dibuat selepas mendapati ia mengelirukan dan nama tersebut menyamai nama parti mereka.

“Ikatan adalah parti politik yang berdaftar dengan ROS semenjak 2015 dan kami mempunyai hak menggunakan nama Ikatan untuk parti.

“Jika kelulusan diberikan terhadap MUDA ianya akan mengelirukan dan sukar untuk masyarakat mengenali mana satu parti Ikatan walaupun entiti kedua-dua parti berbeza dari segi perlembagaan dan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, berkata Ikatan ditubuhkan pada 7 Jun 2012 oleh Abdul Kadir seterusnya diluluskan ROS pada 5 Jun 2015.

“Hampir tiga tahun diambil untuk ROS meluluskan permohonan penubuhan parti baharu.

“DPIM berpandangan bahawa jika ada parti yang mendapat kelulusan kurang dari tiga tahun, itu adalah satu keistimewaan bagi mereka.

“Pada pandangan saya, masa yang lama bagi mendapatkan kelulusan bagi sesebuah parti politik adalah suatu perkara yang tidak asing lagi.

“Sudah tentu ROS perlu menjalankan tugas mereka iaitu memastikan parti yang diluluskan adalah satu-satu parti yang mempunyai ideologi dan objektif yang ingin dibawa dan diperjuangkan.

“Rasa saya jika ini telah disediakan kepada ROS sudah tentu ROS tidak mempunyai masalah untuk meluluskan,” katanya.

Shahir berkata, nasihat beliau kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya mencari ideologi bagi partinya.

“Utarakanlah objektif parti anda dan apakah yang sebenar-benarnya anda perjuangkan, mungkin dengan itu ROS akan pertimbangkan kelulusan parti anda.

“Pentingnya bagi satu-satu organisasi itu mempunyai hala tuju yang jelas bagi mencapai objektif mereka.

“Kelulusan ROS bukan hanya untuk mendapatkan akaun bank seperti yang dicanang segelintir ahli MUDA,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu paling besar buat masa ini adalah nama parti Ikatan Demokratik MUDA.

“Pada pendapat saya pengasas parti MUDA perlu lebih kreatif di dalam mencari nama yang sesuai untuk parti mereka.

“Perlukah penggunaan nama Ikatan di dalam parti anda? Sedangkan nama Ikatan telah lama diguna pakai oleh Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) semenjak 2012.

“Sudah hampir lapan tahun nama Ikatan sinonim dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia.

“Kenapa perlu nama yang sama? Tidakkah MUDA yang diwarwarkan sebagai penggerak anak muda itu tidak kreatif dan menjadi “copycat” serta tiada identiti sendiri?,” soalnya.

Beliau turut berharap pengasas MUDA lebih bertanggungjawab dan tidak semberono dalam membuat keputusan politik.

Dalam masa sama, Shahir menyarankan supaya MUDA menukar nama partinya.

“Tukarlah nama parti anda kepada nama lain, ‘Alliance’ boleh diubah daripada ‘Ikatan’ kepada “Pakatan” kerana MUDA dilihat dibelakangi oleh figura Pakatan Harapan seperti Tommy Thomas dan Ambiga yang kini mahu menyaman ROS,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here