BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang ‘bakal untung’ RM49 bilion.
Ia susulan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk membeli vaksin jenama Pfizer bagi 6.4 juta rakyat Malaysia adalah 20 kali ganda lebih mahal berbanding harga didedahkan seorang ahli parlimen Belgium.
“Sebab itu, mereka terus menipu rakyat kerana tak pernah rasa berdosa.
“Mengikut pengiraan Uncle Kit Siang, kos vaksin Pfizer bagi setiap orang Malaysia cuma RM3b/6.4 juta/20 = RM23 seorang sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Najib berkata hakikatnya peruntukan RM3 bilion itu adalah untuk 70 peratus daripada 31 juta penduduk Malaysia iaitu 21.7 juta rakyat dan bukan hanya 6.4 juta sahaja.
“Kos itu juga termasuk untuk penyimpanan dan pengangkutan sebab vaksin Pziefer memerlukan ia disimpan dalam keadaan sangat sejuk.
“Kos yang didedahkan Belgium itu adalah 12 euros (RM60) setiap dos. Vaksin Pfizer memerlukan dua dos setiap penerima bukan satu dos. Maka kos setiap penduduk adalah 2 X RM60 = RM120. Bukanlah RM23 seorang seperti ditipu Kit Siang,” katanya.
Beliau juga menyarankan kerajaan untuk menawarkan harga vaksin RM30 seorang kepada Kit Siang untuk membeli vaksin bagi 21.7 juta penduduk termasuk kos penyimpanan, pengangkutan dan edaran.
“Biar Kit Siang peluang mengaut keuntungan RM7 setiap orang memandangkan kos Kit Siang cuma RM23 seorang.
“Untuk 21.7 juta orang, Kit Siang dah boleh untung RM152 juta. Cukup untuk tunaikan janji dia nak bersara jika (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) tak beri (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) jadi PM (Perdana Menteri),” katanya.
Najib berkata namun, disebabkan kos vaksin Kit Siang adalah paling rendah dalam seluruh dunia, pasaran yang terbuka pada pemimpin veteran itu adalah seluruh dunia yang amat mengharap vaksin ketika ini.
“Jadi potensi keuntungan Kit Siang sebenarnya adalah sekitar 7 bilion x RM7 =RM49 bilion,” katanya.- Malaysiapost

