Sultan Selangor ucap takziah, dukacita atas pemergian Tun Rahah

0
2

SULTAN Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan takziah dan berdukacita atas pemergian Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office, Sultan Selangor menyifatkan Allahyarhamah yang dikenali baginda sejak 1968, sebagai isteri terbaik kepada seorang perdana menteri dan ahli politik, serta wajar dicontohi.

Baginda turut mengenang kembali keperibadian Allahyarhamah yang mudah mesra dan sering tersenyum serta menjadi tulang belakang dan pendorong utama sepanjang karier politik Allahyarham Tun Abdul Razak semasa hayatnya.

“Baginda turut mengagumi ketabahan Allahyarhamah sebagai seorang ibu yang berjaya membesarkan anak-anaknya sejak kehilangan suami tercinta pada 1976,” menurut kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa sukacita apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara kepada Allahyarhamah di Makam Pahlawan, Masjid Negara.

Baginda menyifatkan ia satu penghargaan tertinggi selayaknya dengan jasa dan bakti Allahyarhamah.

“Baginda berdua mendoakan semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.”

Sultan Sharafuddin pagi tadi berkenan berangkat menziarah jenazah Allahyarhamah Tun Rahah di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi di Kuala Lumpur.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Tengku Permaisuri Norashikin disambut anak-anak Allahyarhamah iaitu Datuk Seri Najib Razak, Datuk Ahmad Johari dan Datuk Seri Nazir.

Tun Rahah, 87, yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Prince Court, meninggal dunia petang semalam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here