Nilam Oshman
PEMBAYARAN zakat melalui platform dari syarikat bukan Islam, hukumnya diharuskan dan ‘tidak salah’ dalam Islam kerana ia dihalalkan mengikut syarak, kata Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.
“Sebenarnya Rasulullah SAW pernah bermuamalah atau jual beli dengan orang bukan Islam misalnya Baginda memajak baju besinya kepada orang Yahudi
“Dari segi itu, tiada halangan… jual beli.. Muamalah… Memang dibenarkan dalam Islam. Itu menunjukkan Islam ini agama yang lengkap.
“Sekiranya tidak boleh (lakukan urusan jual beli) maknanya kita tertutup sedangkan teknologi-teknologi yang canggih seperti kereta, peralatan komunikasi bermula dari orang bukan Islam.
“Jadi, rugilah kita tak boleh bawa teknologi-teknologi ini kepada orang Islam, maknanya dari segi hukum harus dan tidak salah kerana perkara yang kita jual beli atau muamalah itu sesuatu yang dihalalkan oleh Islam mengikut syarak,” katanya kepada Malaysiapost.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Jawatankuasa Fatwa Syariah perlu membincangkan berkenaan urusan pembayaran zakat yang mahu bekerjasama dengan mana-mana syarikat bukan Islam.
“Jika perkara tersebut diharuskan dan memanfaat kepada umat serta agama Islam maka boleh,” katanya.
Semalam, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memaklumkan pembayaran zakat boleh dilakukan di platform e-dagang Shopee bermula semalam.
Ia bertujuan memudahkan pembayar bagi bayar pelbagai jenis zakat termasuk zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, saham dan zakat emas dan perak serta zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – Malaysiapost

