KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lima kluster baharu membabitkan Sabah, Selangor, Johor dan Kelantan.
Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata di Sabah terdapat dua kluster baharu yang dikesan iaitu Kluster Keris Residence dan Kluster Brumas.
Katanya, Kluster Keris Residence adalah kluster membabitkan tempat kerja di daerah Kota Kinabalu dan Tuaran yang setakat ini merekodkan 41 kes positif.
“Kluster Brumas pula membabitkan daerah Kalabakan yang kini merekodkan sebanyak 16 kes setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, di daerah Petaling, Selangor pula, KKM mengesan satu kluster baharu iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Zuhrah dengan 49 kes positif direkodkan dalam kluster terbabit.
“KKM juga mengesan kluster baharu di daerah Johor Bahru dan Kulai iaitu Kluster Jalan Timah yang setakat ini telah menjangkiti 26 individu.
“Di Kelantan, satu kluster baharu dikesan di daerah Kota Bharu dan Machang iaitu Kluster Long Panji yang setakat ini sebanyak 11 kes dikesan positif,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat sebanyak 440 kluster telah dilaporkan termasuk lima kluster baharu pada hari ini.
Katanya, jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 241 kluster termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Softwood LD di Sabah, Kluster Besi Demak di Sarawak dan Kluster Rajawali di Pulau Pinang.
“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 199 kluster.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 41 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Jalan Stadium (167 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (96 kes) dan Kluster Tembok (80 kes),” katanya. – Malaysiapost

