[PARLIMEN] YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan persidangan Dewan Rakyat bagi mesyuarat ketiga, penggal ketiga Parlimen ke-14 yang berakhir hari ini.
Beliau menyifatkan persidangan itu berjaya dilaksanakan walaupun berlangsung dalam suasana norma baharu ketika penularan Covid-19 memuncak.
“Persidangan ini berlangsung selama 29 hari dalam suasana pandemik Covid-19 semakin meningkat,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sebelum menangguhkan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Persidangan Dewan Rakyat berlangsung mulai 1 November lalu hingga hari ini.
Sembilan Rang Undang-Undang (RUU) diluluskan dan tumpuan terarah kepada RUU Perbekalan 2021 dengan semua Belanjawan bagi 25 kementerian diluluskan.
Azhar berkata, beberapa perubahan dilakukan berkaitan urusan mesyuarat bagi menjamin keselamatan dan kesihatan Ahli Parlimen yang bersidang serta pegawai terbabit termasuk kakitangan kerajaan dan wakil media.
“Saya doakan semua pihak dilindungi dan wabak berkenaan berakhir dan tidak menjadi ancaman kepada semua.
“Saya juga ingin memohon maaf jika ada terkasar bahasa dan tertinggi suara sepanjang persidangan.
“Marilah kita semua saling memaafkan antara satu sama lain,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada mereka yang meraikannya dan Selamat Tahun Baharu buat semua. – Malaysiapost

