ARENA bola sepak negara sekali lagi dikejutkan dengan berita sedih apabila kehilangan legenda skuad Harimau Malaya, Datuk Namat Abdullah, 74, yang meninggal dunia, hari ini.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.30 petang tadi di kediaman anaknya di Kamunting, Perak.
Anak Allahyarham, Munaliza berkata jenazah ayahnya akan dibawa balik ke Sungai Petani, Kedah malam ini dan akan dikebumikan pagi esok.
“Kami anak-anak kepada arwah ingin memohon maaf bagi pihak arwah dan sekiranya ada ucapan, perbuatan yang terguris tanpa sengaja sepanjang perkenalan bersama, maafkanlah dan jika abah ada terhutang, silalah hubungi kami,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Pada Jun lalu, Namat dilaporkan bertarung nyawa melawan barah usus tahap empat selepas penyakit itu mula dikesan pada Ogos 2017 sebelum melakukan pembedahan di salah sebuah hospital swasta.
Namat menjadi antara pemain bola sepak negara yang disegani atas sumbangan besarnya termasuk membantu Harimau Malaya ke Sukan Olimpik Munich 1972. -Malaysiapost

