KKM, PDRM bekerjasama isu pemalsuan keputusan ujian Covid-19

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menerima maklumat mengenai kes pemalsuan laporan ujian Covid-19 membabitkan sebuah klinik swasta di Rawang, hari ini.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan perkara itu dapat dirungkai.

“Kementerian mengucapkan terima kasih kepada Dr N Sathia Prakash atas tindakannya membuat laporan polis.

“PDRM mempunyai kebolehan risikan yang hebat bagi menyiasat kes ini,” katanya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Dr Sathia membuat laporan polis selepas mendapati keputusan Covid-19 yang dijalankannya dipalsukan.

Dr Sathia dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti hampir 20 kes pemalsuan keputusan Covid-19 yang dikatakan membabitkan pekerja syarikat subkontraktor yang berurusan dengan kerajaan atau swasta.

Syarikat terbabit dikatakan hanya menghantar beberapa pekerja saja untuk menjalani ujian saringan sebelum dikesan memalsukan dokumen asal keputusan saringan dengan memasukkan nama pekerja lain yang tidak menjalani ujian.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian juga akan memastikan makmal swasta yang digunakan menjalankan ujian untuk kementerian menjalani audit berkala bagi memastikan ujian dijalankan memenuhi piawaian.

Beliau berkata, kementerian juga menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) unruk mengenal pasti jika ada kes yang dipalsukan.

Katanya, pemalsuan sedemikian adalah satu kesalahan dan tindakan boleh diambil melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) selain pihaknya melihat peruntukan lain yang boleh digunakan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here