Jangan persiakan suara terkuat pembangkang

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

SUARA terkuat pembangkang dalam sejarah tidak harus dipersiakan, kata Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Beliau berkata, suara 108 Ahli Parlimen yang dipunyai pembangkang hari ini walaupun masih gagal menolak Belanjawan 2021 tetap merupakan suara terkuat pembangkang dalam sejarah demokrasi negara.

Katanya, kekuatan ini tidak harus dipersiakan, bahkan perlu diurus dengan baik melalui meja rundingan dalam menuju PIlihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Pembangkang hari ini perlu sedar bahawa mereka akan kekal kuat dan berpotensi memenangi semula hati rakyat apabila mereka bersatu-padu dan bekerjasama.

“Dengan seluruh kecelaruan dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang hanya fokus memberikan laba politik kepada ahli-ahli Parlimen mereka dalam mengekalkan sokongan yang tipis, pembangkang perlu lebih kukuh menyemak dan imbang seluruh perjalanan kerajaan.

“Malah lebih jauh, pembangkang sudah boleh bermula dengan cadangan formula agihan kerusi sebagai persediaan PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata perbincangan mungkin tidak harus bersifat rigid dan tertutup, namun kesediaan semua parti di blok pembangkang untuk berunding dan bertolak-ansur pastinya menjadi permulaan yang baik dalam membentuk gabungan besar yang lebih kukuh.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyeru pendukung parti itu dan PH untuk kekal bersemangat, memperkemaskan tekad serta istiqamah menyusun kekuatan menghadapi persaingan politik di arena demokrasi negara.

“Sewajarnya iltizam Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi teladan kepada kita semua untuk terus menggembleng usaha dan buah fikiran bagi memperkuatkan ketumbukan pro-Demokrasi yang merangkumi parti-parti politik dan segenap pertubuhan masyarakat madani.

“Saya yakin kepimpinan Anwar selaku Presiden PKR, pemimpin PH dan Ketua Pembangkang mampu menerajui kekuatan demokratik ini bagi mencapai kejayaan menerapkan agenda Reformasi,” katanya.

Justeru, katanya semua pihak jangan sesekali mengeluh dan jangan abaikan matlamat perjuangan bersama. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here