Muhammad Mustakim Ramli
KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa masih terdapat banyak perkara dan butir-butir di dalam Belanjawan 2021 yang tidak dihiraukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun berjaya diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Presiden PKR itu berkata, atas sebab itu juga pembangkang sepakat untuk membantah belanjawan tersebut.
“Belanjawan itu juga terdapat banyak kelemahan dan ini telah dibukti dan diperdebatkan secara terperinci di Dewan Rakyat oleh Ahli-ahli Parlimen.
“Belanjawan 2021 mencerminkan betapa kerajaan PN hanya mengutamakan hayat politik mereka lebih dari kebajikan dan keterdesakan hidup rakyat,” katanya menerusi kenyataan.
Anwar berkata, ketika perbahasan belanjawan di peringkat jawatankuasa, terdapat ramai Ahli Parlimen dari pelbagai parti politik yang telah menyuarakan kebimbangan terhadap pelbagai isu mustahak.
Terutamanya, kata beliau, isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Peruntukan melampau tinggi RM40.5 juta kepada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dan tujuan dana tersebut diperuntukan, apakah ia digunakan untuk tujuan politik dan sebagainya, dan juga peruntukan yang tidak mencukupi kepada para peniaga yang kini sedang terhimpit.
“Bagaimanapun, oleh kerana kerajaan PN telah mengaitkan kononnya gaji dan prestasi penjawat awam akan terkesan sekiranya belanjawan tidak diluluskan, terdapat sejumlah Ahli Parlimen memilih untuk mendukung belanjawan tersebut dan sebagai solidariti ke atas jutaan penjawat awam yang turut terkesan di era ekonomi pandemik ini, meski belum tentu mereka bersetuju dengan kerajaan PN,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga kesal terdapat beberapa Ahli Parlimen yang telah menyatakan pandangan keras terhadap beberapa isu sebelum ini telah mengundi untuk menyokong belanjawan tersebut.
“Penurunan penarafan Malaysia oleh Fitch Ratings baru-baru ini juga menunjukkan betapa lemahnya prestasi pengurusan ekonomi negara dan tahap tatakelola yang membimbangkan.
“Kita sedang kembali ke era gelap, di mana kerajaan akan terus menginjak prinsip ketelusan, tatakelola yang baik dan pengurusan dana yang cekap.
“Prestasi dan markah tatakelola Malaysia turut melemah pada tahun ini seperti yang dilaporkan Bank Dunia dan dijangka aspek lain seperti indeks rasuah serta kebebasan media akan turut merudum,” katanya.
Anwar mendakwa, keyakinan daripada pelabur akan turut terkesan dan berkemungkinan negara-negara serantau akan meninggalkan negara ini dalam pelbagai lapangan, terutamanya sektor ekonomi dan pembangunan.
“Saat negara sedang memerlukan suatu anjakan baru mengenai bagaimana harus kita bangkit dari suasana ekonomi pandemik seperti hari ini, PN telah membuktikan ia tidak berkeupayaan untuk menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.
“Kerajaan PN akan terus berdepan dengan masalah keyakinan dan ini telah dibuktikan hari ini apabila ia hanya berjaya mempunyai tidak lebih dari 112 sokongan,” katanya.
“Kerajaan lemah seperti ini akan terus tunduk kepada watak-watak rakus yang berkepentingan dan kebajikan rakyat akan terus dikorbankan,” katanya.-Malaysiapost

