Mahkamah Persekutuan benarkan rayuan KJ

0
1

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memperoleh peluang kedua untuk mencabar saman fitnah difailkan terhadapnya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, kira-kira 12 tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim hari ini, membenarkan rayuan Khairy terhadap keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuannya dalam saman fitnah difailkan terhadapnya oleh Anwar.

“Kes ini dikembalikan ke Mahkamah Rayuan untuk mendengar merit kes ini,” kata Abang Iskandar yang kemudian menetapkan esok untuk pengurusan kes melalui prosiding e-review.

Mahkamah juga memerintahkan Anwar membayar RM30,000 sebagai kos kepada Khairy, lapor Bernama.

Empat hakim Mahkamah Persekutuan yang lain ialah Datuk P Nallini, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Prosiding dijalankan secara dalam talian dengan lima hakim dan beberapa pegawai di mahkamah terbuka, manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy dan J Leela bagi pihak Anwar secara maya di hadapan panel melalui aplikasi zoom.

Terdahulu, Muhammad Shafee memohon kos RM100,000 atas alasan jumlah persiapan untuk kes di peringkat Mahkamah Persekutuan adalah besar, tetapi Leela mengatakan jumlah yang diminta terlalu tinggi.

“Kami memohon kos RM10,000,” kata J Leela.

Pada April tahun lalu, Khairy mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuannya selepas memutuskan wujud lebih daripada satu maksud dalam notis rayuannya.

Anwar, yang juga Presiden PKR, menyaman Khairy, yang ketika itu Menteri Belia dan Sukan serta Naib Ketua Pemuda UMNO pada 7 Mac, 2008, mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk “Anwar and kin no threat” disiarkan di portal berita.

Pada September 2017, Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.

Azizul Azmi juga menolak permohonan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaannya bagi menyatakan bahawa kenyataannya adalah komen yang adil.

Pada Februari 2018, Mahkamah Rayuan mengetepikan rayuan Khairy selepas membenarkan permohonan dikemukakan peguam mewakili Anwar untuk membatalkan notis rayuan itu.-Malaysiapost

done

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here